Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selepas 15 tahun kematian mendiang Teoh Beng Hock, Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pasukan polis melengkapkan siasatan berhubung kematiannya, dalam tempoh enam bulan.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman ibu bapanya, Teoh Leong Hwee, 76, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 71.

Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa mendiang dan keluarganya wajar diberi keadilan sama rata seperti rakyat Malaysia yang lain dan berharap ia (keadilan) diperolehi hari ini.

“Saya membenarkan perintah mandamus agar responden-responden melengkapkan siasatan kematian mendiang dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah dikeluarkan.

“Mahkamah mengarahkan siasatan dilengkapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Kes ini perlu dimuktamadkan demi kepentingan keadilan. Semuanya mesti ada titik penyudah,” ujar beliau ketika membacakan penghakimannya.

Dengan keputusan tersebut, mahkamah tidak membuat perintah terhadap deklarasi yang dipohon oleh ibu bapa mendiang atau menentukan sama ada wujud kelalaian di pihak responden-responden.

Pada 4 Januari 2022, ibu bapa mendiang memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Dalam keputusannya, Hakim Wan Ahmad Farid berkata, keadilan hanya akan diperoleh melalui kesimpulan dan penyempurnaan siasatan oleh PDRM.

Ujar beliau, siasatan dimulakan pada 2019 mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu mengurung mendiang secara salah dan kelewatan pihak polis melengkapkan siasatan adalah sesuatu yang melampau.

“Siasatan tidak dijalankan dalam jangka masa yang munasabah,” ujar beliau.

Sehubungan itu, hakim berkenaan berpuas hati kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga menyelesaikan siasatan `tanpa penangguhan yang tidak perlu’ adalah melanggar Seksyen 120(1) Kanun Prosedur Jenayah yang mewajarkan semakan kehakiman dibenarkan.

Dalam semakan kehakiman itu, pasangan tersebut memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah didapati melanggar Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Beng Hock yang ketika itu berusia 30 tahun, ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.

Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here