Kredit JPBM

KUALA LUMPUR – Kereta terbabas sendiri menjadi punca tiga mangsa maut termasuk seorang wanita hamil dan seorang lagi wanita lagi cedera parah berhampiran IOI Conezion Putrajaya awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24; Nurulhuda Ramli, 41 dan Amizan Sapiie, 27, manakala seorang lagi mangsa yang dilaporkan parah, Nizasuhana Ujang, 28.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 1.20 pagi.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi di jalan berhampiran IOI Conezion membabitkan sebuah Perodua Viva yang dipandu dari arah Kajang menghala ke Putrajaya.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan di antara susur masuk menghala ke IOI Conezion dan laluan menghala ke Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Norhizam, akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga lagi penumpang kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Keempat-empat mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk tujuan bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Kita juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan kes terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Haziq Ab Karim di talian 019-907 6260. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kereta terbabas, tiga mangsa maut termasuk wanita hamil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast