PUTRAJAYA – Korban kereta terbabas dalam kemalangan berhampiran IOI Conezion Putrajaya di sini awal pagi tadi melibatkan empat mangsa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, sebelum ini mangsa yang dilaporkan cedera parah itu juga meninggal dunia di tempat kejadian dan kesemua mereka dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, tiga mangsa termasuk seorang wanita hamil maut dalam kemalangan berhampiran IOI Conezion Putrajaya awal pagi tadi.
Norhizam berkata, kejadian berlaku sekitar 1 pagi membabitkan sebuah Perodua Viva yang dipandu dari arah Kajang menghala ke Putrajaya.
Katanya, kereta yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan di antara susur masuk menghala ke IOI Conezion dan laluan menghala ke Putrajaya.
Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga lagi penumpang meninggal dunia di tempat kejadian dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.
Sementara itu, hasrat seorang jurutol yang ingin berjumpa ahli keluarga hari ini tidak kesampaian apabila menjadi mangsa dalam dalam nahas berkenaan.
Ibu mangsa, Lina Harun, 60, berkata, anaknya, Nizasuhana Ujang yang berusia 28 tahun ada menghubunginya pada malam Selasa lalu.
Katanya, mereka sekeluarga menerima perkhabaran berita sedih itu pukul 7.30 pagi tadi selepas dimaklumkan salah seorang ahli keluarganya.
Ujarnya, Nizasuhana yang masih belum berkahwin dan bekerja sebagai jurutol di Grand Saga Cheras itu tidak tinggal bersamanya di Balakong.
“Dia (Nizasuhana) sering balik ke Balakong namun tidak tinggal bersama kami kerana syarikat menyediakan hostel. Kebiasaannya apabila dia bekerja pada sebelah pagi, dia akan pulang ke rumah di Balakong sebelah petang.
“Saya tidak menyangka dia terlibat dalam kemalangan dan dia sudah berjanji untuk berjumpa ahli keluarga di rumah hari ini,” luah ibunya yang sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Putrajaya hari ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kereta terbabas sendiri punca kemalangan maut di Putrajaya – Polis