KUALA LUMPUR- Kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Kementerian Pendidikan (KPM) dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri, kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah KPM, kementerian itu juga mendapat mendapat khidmat sokongan daripada Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai
“KPM mengambil perhatian mengenai isu yang dibangkitkan oleh YB Ahli Parlimen Bagan mengenai kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke KPM pada awal bulan ini seperti yang dilaporkan oleh media.
“Kunjungan ini adalah usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, yang mana Kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut,” katanya.
Menurut KPM, ia berpeluang melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan Malaysia termasuk pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di negara ini.
Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi. Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan.
Selain itu, KPM berkata, ia juga berjaya memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif selain menonjolkan model pendidikan terbaik negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa kepada delegasi tersebut.
“Delegasi itu juga menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di Afghanistan khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.
“Komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.
“Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan. Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak- kanak perempuan,” katanya lagi.
Terdahulu, Guan Eng mempersoalkan tindakan KPM membenarkan lawatan dari sebuah negara yang tidak ada hubungan diplomatik dengan Malaysia diadakan.
Tambahnya, Afghanistan juga adalah sebuah negara yang menyekat golongan wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti.
Malah menurut beliau, Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang melarang golongan wanita belajar di peringkat sekolah menengah dan universiti. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Ahli Parlimen PN kesal Guan Eng pertikai rombongan pendidikan Afghanistan