BATU PAHAT – Seorang lelaki berputih mata selepas rugi RM113,000 diperdaya pelaburan mata wang asing yang tidak wujud baru-baru ini.
Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima laporan kejadian tersebut daripada mangsa yang berusia 57 tahun.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, semuanya bermula apabila mangsa menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali.
“Individu berkenaan menawarkan mangsa untuk menyertai satu pelaburan Prime Time iaitu pelaburan mata wang asing.
“Mangsa kemudian diberitahu bahawa pelaburan tersebut hanya memerlukan modal sebanyak RM520 dan boleh mendapat keuntungan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut telah membuat bayaran permulaan dengan memasukkan wang RM520 ke dalam akaun yang diberikan suspek.
Mangsa, ujarnya, kemudian diberitahu telah memperoleh keuntungan daripada pelaburan tersebut dan dikehendaki membuat sejumah pembayaran bagi mengeluarkan keuntugan diperoleh.
Beliau memberitahu, antara 16 September hingga 15 Oktober lalu, mangsa membuat pindahan wang ke dalam lapan akaun berbeza secara berperingkat-peringkat berjumlah RM113,000.
Transaksi tersebut katanya, bagi membolehkan mangsa mendapatkan keuntangan diperolehnya.
“Walaupun telah memasukkan wang sehingga jumlah tersebut, mangsa masih tidak lagi menerima keuntungan seperti yang dijanjikan malah mangsa terus diminta menambah pembayaran.
“Sehingga diperingkat ini barulah mangsa mengesyaki berkemungkinan dirinya ditipu dan jumlah keseluruhan kerugian adalah RM113,000,” ujarnya.
Tambahnya, pihak polis menjalankan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Orang ramai juga boleh melayari Facebook@jsjkpdrm DAN @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersil,” katanya.- MalaysiaGazette