Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Khatam Sama' Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 di Masjid Putra, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 diyakini mampu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang menghidupkan roh Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menaruh harapan agar program ilmu itu membawa satu mesej baharu kepada dunia.

“Mudah-mudahan Malaysia terpancar sebagai sebuah negara Madani yang gigih berusaha memacu pertumbuhan dan pada masa sama, mengekalkan semangat hidupkan penghayatan Islam dan roh Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 di Masjid Putra di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, negara Madani yang berdepan kemajuan, pembangunan dan kemampanan mesti berteraskan nilai, keyakinan dan akhlak.

“Sebab itu, untuk menyemarakkan Islam ini, pencerahannya dan ilmunya sangat penting.

“Saya ingat lagi pesanan Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari.

“Beliau pesan kepada saya apabila pegang jawatan sebagai Perdana Menteri, usahakan lah supaya ada majlis yang disebut Sama’ Khatam Hadith Sahih Al-Bukhari’ setiap tahun.

“Tahun lalu kita mulakan dengan sederhana dan alhamdulillaj tahun ini kita saksikan kejayaan membanggakan,” katanya.

Anwar juga mahu semua anak-anak Islam di semua sistem pendidikan supaya mulakan dengan mata pelajaran wajib iaitu menelaah 40 hadis, terjemahannya dan syarahannya.

Sebelum itu, seramai 10,000 peserta hadir pada Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih al-Bukhari di Masjid Putra malam ini.

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu melibatkan penyertaan dari luar negara juga wakil-wakil kementerian, agensi, pendakwah, para ilmuwan, para pelajar pengajian tinggi awam dan swasta, madrasah dan institusi agama.

Program yang julung kalinya diadakan itu dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan At-Taibah dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Program dimulakan dengan bacaan Yasin dan solat Isyak diikuti syarahan perdana serta pengijazahan Sahih al-Bukhari oleh Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here