Nuzul Hafizan Afiq

PUTRAJAYA – “Memang berat untuk kehilangan mama, tapi dia selalu ingatkan pada saya setiap hari supaya menjaga semua adik-adik”.

Itu pesanan sering diungkap Allahyarham Nurulhuda Ramli kepada anak sulungnya, Nuzul Hafizan Afiq Abd Wahab, 25, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Putrajaya, di sini.

Nurulhuda, 41, merupakan ibu tunggal kepada lima anak dan salah seorang mangsa yang maut dalam nahas berhampiran IOI Conezion Putrajaya, awal pagi tadi.

Menurut Nuzul Hafizan Afiq, kaki terakhir dia bertemu dengan ibunya pada minggu lalu sebelum pulang ke asrama tempat kerjanya di Rawang, Selangor.

“Mama memang tidak tunjuk sebarang perubahan pun sebelum ini (minggul lalu). Memang sedih dan terkejut bila dengar khabar mama sudah pergi.

“Kami tahu pun sudah lewat tengahari tadi bila ada yang datang ke rumah. Adik-adik semua sudah tahu dan masih sedih mama dah tak ada.

“Selepas ini, saya memang kena tinggal dengan adik-adik di rumah dan kerja macam biasa (di Rawang), insya-Allah saya akan jaga mereka macam mama selalu pesan,” katanya yang kelihatan sugul ketika ditemui.

Tambahnya, tanggungjawab sebagai ketua keluarga itu sudah diasah sejak kecil bagi menjaga adiknya yang berusia 21,18,13 dan 8 tahun.

Bagaimanapun, dia reda dengan ketentuan takdir dan akui akan merindui hidangan masakan serta semua kenangan bersama ibunya itu.

“Mama memang seorang yang garang, tegas dan penyayang malah gemar memasak antaranya rendang dan ayam masak merah.

“Mama pun suka bawa kami pergi ke pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan masa kami kecil dulu. Itulah antara kenangan takkan saya lupa,” luahnya.

Terdahulu, jenazah Nurulhuda dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Putrajaya pada jam 6.40 petang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, Selangor.

Awal pagi tadi, empat mangsa dilaporkan maut melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva dalam nahas berhampiran IOI Conezion Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, dalam kejadian sekitar jam 1 pagi kereta itu dipandu dari arah Kajang menghala ke Putrajaya.

Katanya, kereta terbabit telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast