KL Rovers tewas kepada JDT 3-0 dalam aksi Piala Malaysia 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU – Pengendali Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers), Wan Mustaffa Wan Ismail berharap khabar angin kelab itu akan dijual dengan nilai RM3.5 juta dapat direalisasikan.

Katanya, ketika ini terdapat beberapa pihak menyatakan minat membeli kelab itu sejak tahun lalu apabila layak ke Liga Super dan beberapa proses sudah dilaksanakan untuk mengambil alih kelab tersebut.

Namun katanya, hasrat itu tidak kesampaian dan kali ini khabar angin itu bertiup lagi.

“Saya bukanlah orang yang tepat untuk memberi kenyataan cuma berharap jika ada yang berminat, biarlah dilakukan sebaiknya.

“Jangan pula bila sudah diambil alih dan memegang jawatan lupa tugas hakiki. Pemain harus diberi keutamaan daripada segi latihan dan fasiliti yang lengkap selain bayaran gaji yang setimpal malah perlu dibayar tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan KL Rovers dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Wan Mustaffa berkata, jadikan JDT tauladan, cara mereka menguruskan kelab yang sentiasa mengutamakan kebajikan pemain dan mengurusnya sebaik mungkin daripada aspek kewangan dan pentadbiran.

“Pemain yang ada di dalam kelab merupakan nadi utama sesebuah kelab kerana tanpa pemain maka tiada pegawai dan jurulatih dalam kelab,” tambahnya.

Mengulas mengenai kekalahan 0-3 kepada JDT, Wan Mustaffa optimis barisan pemain yang dihantui dengan isu di luar padang tetap bersikap profesional apabila memberi persembahan terbaik.

Walaupun tewas, beliau percaya peluang masih ada untuk skuad kendaliannya itu kembali bangkit pada aksi pusingan kedua pada 30 November ini.

“Pemain mempamerkan aksi yang baik dan mengikut arahan taktikal, cumanya terdapat jurang antara kedua-dua pasukan, mereka berada satu peringkat yang tinggi manakala kami tidak cukup latihan.

“Ada lagi aksi kedua dan kami akan beri yang terbaik untuk bangkit nanti dan saya percaya pemain akan tampil dengan permainan berintensiti tinggi bagi menyaingi pemain JDT,” kata Wan Mustaffa.

Ditanya sama ada faktor kewangan yang menjadi punca aksi di tempat sendiri diadakan di tempat lawan, jelasnya, banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan tersebut dan kelab itu amat berterima kasih dengan kerjasama diberikan pasukan JDT.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here