ISKANDAR PUTERI- Kerajaan Johor membentangkan Belanjawan Johor 2025 berjumlah RM1.999 bilion di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, belanjawan tersebut meningkat berbanding RM1.799 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan Johor 2024.
“Belanjawan kali ini juga mencatat sejarah apabila diunjurkan bakal menerima hasil RM2.005 bilion, pertama kalinya negeri merekodkan hasil melebihi RM2 bilion.
“Selain itu Johor turut mencatatkan belanjawan lebihan RM5.12 juta, untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya semasa membentangkan belanjawan tersebut.
Belanjawan Johor 2025 berpegang kepada enam teras Agenda Maju Johor membabitkan pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, infrastruktur, dan usaha memperkukuh keagamaan serta masa depan belia yang berdaya saing dengan 244 inisiatif.
Onn Hafiz berkata, unjuran hasil negeri bagi tahun depan adalah sebanyak RM2.005 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM201 juta atau 11 peratus berbanding unjuran 2024.
“Unjuran perbelanjaan pada 2025 pula adalah RM1.999 bilion. Angka-angka ini menunjukkan bahawa Belanjawan Johor 2025 merupakan belanjawan surplus dengan sebanyak RM 5.12 juta.
“Sejumlah RM1.271 bilion diperuntukkan bagi tujuan Belanja Mengurus manakala sejumlah RM728 juta pula diperuntukkan bagi tujuan Belanja Pembangunan,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, dalam tempoh dua tahun, Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM113.7 billion dan menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu.
Pada September lalu katanya, kerajaan Persekutuan telah melancarkan Pakej Insentif bagi Zon Kewangan Khas (SFZ) yang berpangkalan di Forest City.
“Menjelang hujung tahun ini pula, kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura akan menandatangani perjanjian bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.
Menerusi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas tersebut katanya, dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan akan dijana.
Tambah Onn Hafiz, ekonomi Johor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi mencatatkan perkembangan sebanyak 4.1 peratus pada 2023.
“Angka itu melepasi paras pertumbuhan nasional 3.6 peratus dengan nilai Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM148.2 bilion pada 2023, berbanding KDNK RM142.4 bilion pada 2022,” katanya.- MalaysiaGazette