MENTERI Sumber Manusia, Steven Sim pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengesahkan Eksekutif (CEO) Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (HRD Corp), Datuk Shahul Hameed Dawood telah kembali bertugas di agensi terbabit.

Bagaimanapun, ujar Steven (PH-Bukit Mertajam), Shahul Hameed sebelum ini sudah mengambil cuti bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan susulan teguran yang dibuat terhadap syarikat kerajaan itu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024.

“Saya rasa kita tak dapat nafikan…everyone is assume innocent until proven guilty (seseorang adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah).

“Dalam keadaan ini, tiada anggota atau individu dalam HRD Corp yang didakwa di mahkamah…waima mereka yang didakwa di mahkamah itu pun saya percaya kalau mereka disiasat di peringkat awal, adakah kita mahu minta mereka bercuti atau lepas jawatan?

“Saya rasa itu tidak adil,” katanya pada sesi penggulung peringkat jawatankuasa Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Steven menjawab pertanyaan yang dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) berkenaan desas-desus Shahul Hameed telah kembali bertugas di agensi kerajaan itu di sebalik isu penyalahgunaan dana dalam HRD Corp yang sedang disiasat SPRM ketika ini.

“Saya mohon penjelasan, berkenaan isu melibatkan HRD Corp ini, saya dan Masjid Tanah (Datuk Mas Ermieyati Samsudin) dan Ahli-ahli Parlimen lain, kami berbahas satu hari di Dewan Rakyat, semua seru tindakan diambil dan siasatan dibuat, tetapi tiba-tiba saya dengar CEO nya kembali bertugas, apa yang berlaku?” kata Rayer.

Sementara itu, Steven berkata, Kesuma tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah oleh mahkamah dalam siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan di HRD Corp.

“Kita serahkan siasatan kepada pihak berkuasa, kalau sesiapa didapati bersalah, kita tidak akan kompromi, bukan sahaja tindakan memecat, kita juga akan ambil tindakan undang-undang (yang wajar),” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.

PAC juga meminta Kesuma membentangkan dapatan audit bebas terhadap HRD Corp kepada pihaknya September depan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 sebelum ini dilaporkan berkata, Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dilakukan.

Wan Suraya berkata, terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Beliau berkata, justeru itu, Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here