KUALA LUMPUR – Aplikasi inovasi, myBarber kini melangkah setapak lagi apabila menawarkan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut bagi memudahkan pelanggan secara dalam talian.
Pengasas myBarber, Muhammad Saiful Amirul Nasharuddin berkata, pengenalan aplikasi itu berjaya merapatkan jurang antara pelanggan dan tukang gunting rambut terbaik, menawarkan kemudahan, kecekapan, dan kualiti yang dapat diakses bila-bila masa.
Menurut beliau, pengguna ketika ini boleh menempah temu janji untuk potongan rambut dan keperluan penjagaan lain dengan mudah, menjimatkan masa dan tenaga.
“Visi perniagaa kami adalah merevolusikan proses tempahan perkhidmatan dandanan tradisional, membolehkan pengguna menempah khidmat potongan rambut, meneroka portfolio tukang gunting di kawasan berdekatan dan membuat pembayaran tanpa tunai dengan mudah melalui satu aplikasi.
“Kami berhasrat menjadi destinasi utama untuk semua keperluan penjagaan rambut, mencipta pengalaman lancar dan mudah bagi pelanggan serta tukang gunting,” katanya pada majlis pelancaran aplikasi versi beta, myBarber di sini baru-baru ini.
Mengulas ciri-ciri aplikasi myBarber, Muhammad Saiful Amirul berkata, pelanggan boleh mendapat kemudahan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut dengan cepat di kedai gunting rambut atau rumah.
“Pengguna boleh mencari tukang gunting mahir berdekatan dengan melihat portfolio dan memilih berdasarkan ulasan orang ramai.
“Pembayaran juga lancar kerana transaksi tanpa tunai terus dalam aplikasi,” katanya yang terbabit dalam bidang gunting rambut sejak lima tahun lalu.
Muhammad Saiful Amirul menambah, pengguna platform myBarber juga akan diingatkan untuk membuat tempahan seterusnya.
“Aplikasi ini menguruskan pelbagai tempahan dengan cekap menggunakan kalendar terbina dalam. Ia membabitkan analisis perniagaan iaitu akses analitik perniagaan, pemantauan kehadiran dan trend tempahan pelanggan.
“Selain itu, platform ini juga memberi sokongan kepada tukang gunting sambilan (bebas) dengan menyediakan perkhidmatan panggilan ke rumah dan membantu meluaskan jangkauan melalui kehadiran dalam talian serta kempen pemasaran, menarik pelanggan baharu dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Hazman berkata, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan pada majlis pelancaran, antaranya sesi pendidikan rambut yang dikendalikan oleh pakar tukang gunting terkenal dan pertandingan ‘Barber Battle’. – MalaysiaGazette