KUALA LUMPUR – Skuad muda B-23 tahun negara dilaporkan bakal mendapatkan khidmat ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain.
Persoalan itu timbul apabila Nafuzi dikatakan menjadi antara calon pengendali Harimau Muda bagi menggantikan posisi Juan Torres Garrido.
Nafuzi ketika ini masih lagi membimbing pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super.
Begitu pun, dia berdepan masalah tunggakan gaji yang melanda KDA FC ketika ini mungkin menjadi faktor Nafuzi untuk melangkah keluar dengan mencari haluan baharu.
Dia yang terkenal dengan istilah ‘Nafuzi Ball’ yang diberikan oleh pengulas dan penyokong bola sepak sebelum ini mula menyertai KDA FC pada 2023 selepas meninggalkan Terengganu FC.
Namun kehadiran pengendali itu ke Alor Setar untuk mengembalikan kegemilangan Hijau Kuning tidak kesampaian apabila dilanda masalah kewangan.
Sementara itu, Nafuzi kini lebih selesa memberi tumpuan kepada pasukannya yang akan turun menentang Kuala Lumpur City FC dalam aksi pertama saingan 16 terbaik Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, esok. – MalaysiaGazette