Polis dengan kerjasama TNB memotong bekalan elektrik premis judi online di ibu negara menerusi Ops Dadu di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memotong bekalan elektrik ke atas 10 premis judi dalam talian di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tindakan itu dilaksanakan melalui Ops Dadu Khas  oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Balai Polis Tun H S Lee.

“Tindakan pemotongan elektrik ke atas premis-premis judi online haram itu diambil di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi tujuan mengelakkan premis terbabit kembali aktif menjalankan aktiviti perjudian haram itu di masa akan datang.

“Semasa pemotongan bekalan elektrik itu dilaksanakan, pemeriksaan polis mendapati premis judi itu tidak berpenghuni dan ia memudahkan operasi kami berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Tambah Sulizmie Affendy, premis judi online itu menggunakan modus operandi iaitu hanya akan membenarkan pelanggan tetap mereka masuk ke dalam bangunan yang diawasi oleh kamera litar tertutup dan pintu besi bagi menyukarkan ia dihidu oleh pihak berkuasa.

Jelasnya lagi, nilai wang pertaruhan yang ditawarkan dalam judi online itu adalah bergantung kepada kehendak pelanggan.

“Oleh demikian polis meminta kerjasama masyarakat membantu polis menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perjudian dalam usaha membanteras kegiatan terbabit di ibu negara.

Terdahulu pada Jun yang lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, semua pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia peringkat negeri dan daerah melakukan penguatkuasaan secara menyeluruh bagi membendung aktiviti perjudian di kawasan masing-masing.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here