KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh tidak menyedari ‘Taliban’ membuat kunjungan ke atas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dipersoalkan Presiden MCA.
Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, adalah sesuatu yang pelik Kah Woh yang disifatkan sebagai timbalan menteri yang berkuasa dan berpengaruh tidak mengetahui lawatan itu.
Serentak itu beliau menggesa agar Kah Wah membuat kenyataan terbuka pendiriannya mengenai pertemuan antara Fadhlina dan pemimpin ‘Taliban’.
“Semalam Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pula mendedahkan bahawa Timbalan Menteri Pendidikan dari DAP Wong Kah Woh tidak tahu menahu tentang pertemuan menterinya dengan rombongan rasmi Kerajaan Afghanistan.
“Eh pelik pula! Bagaimana Timbalan Menteri Pendidikan Wong yang berkuasa dan berpengaruh ini tidak mengetahui perkara ini? Hubungan Fadhlina dan Wong yang begitu akrab, mana mungkin Wong tak mengetahuinya.
“Timbul persoalan, apa pendirian Wong Kah Woh? Setuju dengan tindakan Fadhlina? Setuju dengan Taliban? Senyap sahaja dan tidak bersuara? Mungkin akan dijawab secara bertulis? Jawapan mudah, tak payah kot!” sindirnya.
Ka Siong berkata, sebelum ini ada pemimpin politik ketika menjadi pembangkang gemar menggunakan perkataan ‘Taliban’ dalam ucapan dan ceramah untuk menyerang musuh politik dan akhirnya banyak undi Cina yang diperolehi oleh partinya.
Kini menurut beliau, tokoh tersebut telah dinaikkan pangkat dan menjadi menteri Kabinet dan partinya menjadi kerajaan dengan ramai pemimpin jadi menteri dan berjawatan tinggi.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu bagaimanapun tidak menamakan pemimpin terbabit.
Guan Eng semalam meminta Fadhlina menjelaskan alasan kementerian itu menjadi tuan rumah kepada delegasi kerajaan Afghanistan yang kini di bawah pimpinan Taliban.
Beliau membangkitkan isu itu bukan sahaja sebagai wakil rakyat, tetapi juga sebagai seorang yang memandang serius hak asasi manusia khususnya pendidikan wanita.
Tambah Guan Eng, Kah Woh yang juga daripada DAP tidak mengetahui tentang lawatan delegasi itu.
Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini tampil menjelaskan isu dibangkitkan Guan Eng.
KPM berkata, program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan itu dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).
Menurutnya, ia juga mendapat khidmat sokongan daripada kementerian dan agensi lain berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan serta pemantauan berterusan sehingga program selesai. – MalaysiaGazette