Fadillah Yusof (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada P. Sri Ganes (tiga dari kanan).

KUALA LUMPUR – Perintis program kenderaan elektrik (EV) dan dron di Malaysia, Datuk P. Sri Ganes dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Mahir 2024 pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024.

Pengiktirafan itu diberikan kepada Sri Ganes sebagai menghargai sumbangan beliau selaku pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group dalam memperkasakan serta memasyarakatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) di negara ini.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di Putrajaya baru-baru ini.

Anugerah Tokoh Mahir mengiktiraf individu dan organisasi yang memainkan peranan penting dalam memartabatkan latihan kemahiran dan dijadikan teladan bagi mereka dalam industri.

Sri Ganes melalui institusi latihan yang diusahakannya itu  turut menawarkan program latihan yang inovatif dan relevan dengan keperluan semasa termasuk dalam bidang teknologi baharu muncul, EV, dron serta kecerdasan buatan (AI).

“Saya cukup bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana ini merupakan satu pengiktirafan kepada usaha saya sejak 1999 untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja kerkemahiran yang berupaya menjana pendapatan tinggi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sri Ganes menjadi pelopor dengan memperkenalkan program kemahiran dron pertama di Malaysia pada 2016 selepas senyedari keperluan untuk sentiasa relevan dalam dunia teknologi yang pesat berubah.

Program berkenaan diakreditasi Jabatan Kemahiran pada 2019, menjadikan SG Education Group sebagai institusi pertama di negara ini yang menawarkan latihan dron bertaraf nasional.

Sementara itu, Sri Ganes turut menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk memantapkan TVET.

“Sokongan berterusan daripada kerajaan dan sektor industri ialah kunci kepada kejayaan program TVET yang fleksibel dan berkesan.

“Peluang latihan praktikal, pendedahan teknologi terkini serta akses global perlu ditingkatkan bagi memastikan graduan kita bersedia menghadapi cabaran,” katanya yang juga Presiden Yayasan Mahir Malaysia.

Sri Ganes kini menerajui pelbagai inovasi pendidikan termasuk konsep ‘Belajar Sekarang, Bayar Kemudian’ yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengakses latihan kemahiran tanpa perlu membayar wang pendahuluan.

Langkah itu, katanya, bertujuan membuka pintu kepada lebih ramai individu untuk mengejar impian tanpa kekangan kewangan.

Institusi latihan beliau kini menawarkan pelbagai program relevan termasuk bidang teknologi baharu seperti kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan yang bertujuan membekalkan tenaga mahir sejajar dengan keperluan semasa industri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here