Paparan rakaman video pemandu kereta yang terlibat kes langgar lari insiden nahas jalan raya di Klang mengakibatkan penunggang wanita patah kaki baru-baru ini.

KLANG – Seorang pemandu kereta yang tular di media sosial selepas terlibat dalam nahas jalan raya sehingga mengakibatkan seorang wanita yang menunggang motosikal tercedera dan patah kaki diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, insiden berlaku di susur jalan dari arah persimpangan Lebuh Turi, Klang menghala ke Persiaran Raja Muda Musa itu berlaku pada 19 November lalu.

Polis menerima laporan daripada mangsa di Balai Polis Trafik Klang pada hari yang sama.

“Dalam kejadian yang berlaku sekitar lebih kurang 1.45 petang itu berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Camry dan motosikal.

“Siasatan lanjut polis mendapati kereta Camry itu telah menghimpit dan merempuh sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita dan terus melarikan diri tanpa berhenti di lokasi kejadian itu.

“Kejadian ini telah dirakam kamera dashcam sebuah motokar lain dan dimuatnaik ke laman media sosial dalam bentuk rakaman video berdurasi 30 saat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fon, penunggang motosikal itu telah telah membuat laporan di Balai Polis Trafik Klang Selatan setelah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Semakan lanjut polis mendapati mangsa telah mengalami kecederaan patah kaki sebelah kiri dan luka-luka di beberapa bahagian badan.

“Bertindak atas rakaman video tular berkenaan, polis telah mengesan kenderaan tersebut melalui beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari beberapa pemilik bangunan perniagaan di sepanjang laluan suspek ketika melarikan diri.

“Hasilnya, polis berjaya menjejaki dan membuat tangkapan ke atas pemandu kereta berkenaan dan sebuah kereta jenis Camry yang terlibat dalam kemalangan tersebut juga dirampas untuk membantu siasatan lanjut kes ini,” ujarnya.

Menurutnya, suspek adalah seorang lelaki berusia 47 tahun dan ditahan sekitar 12 tengah hari pada 20 November lalu di daerah tersebut.

Semakan polis mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan memiliki 24 waran tangkap atas kesalahan trafik yang mana 15 daripadanya adalah waran tangkap kesalahandi bawah pentadbiran IPD Klang Selatan.

Hoong Fong memaklumkan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh pegawai penyiasat Inspektor Khairul Nizam Abul Talib.

“Suspek juga akan disiasat dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur-unsur perbuatan jenayah yang telah dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here