Tertuduh, T. Kumaresan, 30, didenda RM16,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini atas kesalahan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan terhadap tiga sekeluarga, lima tahun lalu.

ALOR GAJAH – Seorang pemandu lori didenda RM16,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini atas kesalahan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa tiga sekeluarga, lima tahun lalu.

Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, T. Kumaresan, 30, sebaik tiga pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori nombor pendaftaran MBS9139 telah memandu secara tidak cermat dan perhatian yang sepatutnya.

Tindakan itu sehingga melanggar kereta dinaiki tiga sekeluarga iaitu Ng Kwang Shiang,34; Ng Hui Bee, 27; dan Ng Huey En berusia tujuh tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kolam dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 12.19 tengah malam 18 November 2019.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan sehingga RM10,000 dan boleh juga dipenjara tidak melebihi 12 bulan serta sabitan hendaklah dicatatkan pada lesen memandu mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini media melaporkan, sepasang suami isteri bersama anak perempun mereka maut selepas kereta dinaiki dirempuh lori membawa muatan bakul ayam kosong.

Kejadian turut mengakibatkan seorang lagi anak pasangan itu yang berusia setahun ketika kejadian patah kaki.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam A. Mathan bagaimanapun merayu denda yang rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan gaji bulanan RM2,000 dan perlu menanggung isteri dan ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan tertuduh didenda RM5,500 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh membayar denda tersebut berjumlah RM16,500. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast