MUAR – Pemandu yang disyaki terlelap sehingga menyebabkan treler dibawanya merempuh kereta dinaiki lapan sekeluarga dan mengakibatkan seorang kanak-kanak maut akan direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler iaitu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun mengalami microsleep telah hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.
“Pada masa sama datang kereta Proton Iswara dinaiki lapan sekeluarga telah merempuh sisi kanan hadapan treler tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Raiz Mukhliz berkata, akibat pelanggaran tersebut seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meningggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, tujuh mangsa lain katanya, dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, pemandu treler berkenaan mengalami cedera ringan dan ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Kejadian tersebut berlaku di Kilometer 148.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini pukul 3.44 petang semalam dan tular dalam media sosial.- MalaysiaGazette