BATU PAHAT – Seorang pembantu pengembala lembu dan kambing dihukum penjara dua bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menceroboh kawasan kediaman dan merosakkan harta benda Sultan Johor pada bulaln lalu.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad Qamarulazim Samad, 20, mengaku salah atas pertuduhan berkenaan.
Pemuda itu didakwa memasuki kediaman milik Sultan Johor yang digunakan sebagai tempat simpan harta dan merosakkan kunci pintu rumah tempat datang-datang, Jabatan Kerja Raya (JKR) 100, Jalan Kluang di sini pada pukul 9.30 pagi, 23 September lalu.
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah muda dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang rmaai agar tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.
Tertuduh yang diwakili peguam Siti Farha Garieb daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagaimanapun merayu tempoh reman bermula 24 September lalu sebagai hukuman kerana itu merupakan kesalahan pertama selain masih muda.
Suhaila kemudiannya menjatuhkan hukuman dua bulan penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap dan berharap pemuda itu menjadi anak bangsa yang baik.- MalaysiaGazette