BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas lebih 15 tan minyak masak paket bersubsidi yang disimpan melebihi had kuantiti dibenarkan di dua buah stor milik sebuah syarikat pemborong di Taman Impian Ria, di sini, hari ini.
Pengarahnya S. Jegan berkata, serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN jam 2 petang itu dibuat hasil maklumat awam serta risikan sejak sebulan lalu.
Jelas beliau, ketika serbuan pemilik perniagaan warga tempatan berusia 47 tahun dan dua pekerja warga Bangladesh masing-masing berumur 42 tahun sedang memindah masuk bekalan ke dalam lori untuk diedarkan kepada peruncit dan restoran.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemborong itu hanya memiliki lesen untuk menyimpan masing-masing 5,000 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi, gula serta tepung gandum.
“Bagaimanapun, pemeriksaan kita ke atas dua stor termasuk satu yang tidak berlesen menemui 15,310 kg minyak masak paket sekali gus melebihi had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen.
“Ini merupakan rampasan terbesar KPDN Pulau Pinang setakat ini dan dalam serbuan itu kita turut merampas sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM58,275,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Mengulas lanjut Jegan berkata, semakan buku log pemborong tersebut mendapati ia diselenggara dengan baik namun jumlah kuantiti dimanipulasi dengan jumlah sebenar dalam stor tersebut.
“Berdasarkan siasatan awal kita tidak menolak kemungkinan bekalan minyak masak itu akan diagihkan kepada peruncit atau pihak yang tidak sepatutnya namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kita juga telah mengenal pasti pengilang yang membekalkan minyak masak kepada pemborong ini dan pengilang tersebut akan dipanggil untuk bantu siasatan.
“Kesemua minyak masak yang yang melebihi had simpanan itu disita untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – MalaysiaGazette