Pengarah AADK Selangor, Nazir Mohamad pada sidang media di Ibu Pejabat AADK, Negeri Selangor, Petaling Jaya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Helah bapa menghantar anak berusia empat tahun untuk membeli dadah terbongkar selepas ditahan sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Selangor baru baru ini.

Suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan di kawasan sarang penagih ketika Op Perdana siri 4/2024 pada 19 hingga 21 November lalu di Klang.

Perkara itu didedahkan Pengarah AADK Negeri Selangor, Nazir Mohamad.

Pada sidang medianya di Petaling Jaya dekat sini hari ini, beliau berkata, operasi yang dijalankan AADK itu turut menahan 139 orang positif dadah yang terdiri daripada 131 lelaki dan 8 orang wanita.

“Mereka yang ditahan adalah berusia antara 13 hingga 61 tahun. Hasil ujian saringan awal mendapati sejumlah 99 orang positif dadah jenis methamphetamine, 33 orang positif jenis opiat dan tuju yang lain positif ganja.

“Kesemua Orang Yang Disyaki (OYDS) yang positif ini telah diambil tindakan di bawah Seksyen 31 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Selain itu, Nazir berkata, pihaknya juga akan mula mengesan dan menahan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan termasuk mitragynine (ketum), bahan psikotropik yang terkandung dalam sesetengah cecair vape.

Tidak terkecuali juga mereka yang menjadi penghidu gam yang mengandungi bahan toluena apabila pindaan akta Seksyen 31 itu dikuatkuasakan nanti.

“Ini tidak lain tidak bukan bagi memastikan mereka yang ditahan mendapatkan program rawatan dan pemulihan bersesuaian yang disediakan pihak AADK,” jelasnya.

Menurutnya, AADK akan terus menggiatkan lagi operasi pengesanan dan penahanan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah bagi membantu mereka mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang sangat diperlukan mereka.

Ops Perdana yang dijalankan selama tiga hari itu turut melibatkan 62 orang pegawai dan anggota dengan memfokuskan tiga buah daerah iaitu Petaling, Klang dan Sepang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here