Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan di dapur sebuah premis yang menyimpan 32 paket minyak bersubsidi tanpa kebenaran di Kuantan baru-baru ini

KUANTAN – Tindakan seorang pengusaha restoran meletakkan dua botol minyak besar di dapur untuk mengaburi mata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, gagal apabila taktik berkenaan dengan mudah dihidu pihak berkuasa.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, pengusaha restoran itu kantoi apabila sebanyak 32 paket minyak masak bersubsidi ditemui di dapur berkenaan yang digunakan untuk jualan menggoreng ayam penyet.

Tambahnya pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen yang berkaitan bagi pemilikan minyak masak peket tersebut.

“Tindakan pemeriksaan telah dilakukan pada 19 November 2024 pada jam lebih kurang 4 petang oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Pahang hasil daripada aduan yang menyatakan premis restoran tersebut menggunakan minyak masak peket bersubsidi dalam menjalankan perniagaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Susulan itu sebanyak 32 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi serta dokumen-dokumen perniagaan lain yang berkaitan disita untuk tujuan siasatan.

Jezlily berkata satu siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan melebihi had yang disyaratkan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast