KUALA LUMPUR – Penurunan ketara dalam Indeks Kebebasan Media negara pada tahun ini disebabkan terikat dengan hasrat Majlis Raja-Raja untuk tidak dikritik secara terbuka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan perkara itu menegaskan, walaupun kerajaan membenarkan rakyat bebas bersuara namun mereka perlu menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Mengenai indeks kebebasan media, kita juga terikat masalah 3R (kaum, agama, raja-raja).
“Sementara kita izinkan orang berbicara tetapi sidang Raja-Raja Melayu itu sangat tegas. Jadi kita juga terikat dengan pandangan raja-raja bahawa mereka tidak mahu dan mengizinkan sebarang kecaman di khalayak tanpa tindakan.
“Kalau dibangkitkan umpamanya kecaman-kecaman terhadap saya itu berbakul-bakul, tak ada tindakan tapi kalau ada laporan polis biar polis yang menuruskan.
“Saya tidak mempedulikan sangat hal-hal sedemikian,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang membangkitkan isu penarafan kerajaan yang rendah berhubung reformasi institusi dan kebebasan media.
Menurut Awang, Malaysia jatuh ke 34 tangga dalam indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekaligus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.
Laporan yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) itu menunjukkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata. – MalaysiaGazette