KUALA LUMPUR- Syarikat AeroDarat Services Sdn. Bhd. (ADS) dan kakitangan yang terlibat dalam insiden pergaduhan di lapangan terbang baru-baru ini sepatutnya membuat laporan polis, kata Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kabin (NUFAM) .
Sekretariat NUFAM dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan perlu dijalankan secara adil dengan itu, laporan polis harus dibuat oleh kakitangan dan syarikat terbabit.
Tambahnya, ADS juga tidak seharusnya terlalu cepat mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan tersebut sedangkan penumpang berkenaan dilepaskan.
”Sebagai syarikat yang bertanggungjawab untuk melindungi kakitangan mereka dalam semua keadaan, adakah syarikat tersebut melakukan sedemikian demi keselamatan kakitangan mereka?
“Ia tidak boleh nampak berat sebelah saja sebab kakitangan itu telah dipukul terlebih dahulu.
“Video klip yang disebarkan juga menunjuk bahawa penumpang tersebut telah menyerang dan memukul kakitangan lapangan terbang tersebut sehingga menyebabkan kakitangan itu bertindak memukul balik penumpang itu.
“Siapa yang kata penumpang itu tetap betul dan tidak bersalah jika penumpang itu sendiri telah bersikap luar batas dengan memukul kakitangan tersebut? ” katanya.
NUFAM turut menasihatkan ADS dan kakitangan tersebut mengambil tindakan sivil terhadap penumpang berkenaan sekiranya benar dia telah dipukul terlebih dahulu.
”Memang tidak dinafikan seseorang pekerja itu harus bersikap profesional tetapi dalam keadaan yang marah setelah ditumbuk dan dipukul, kami rasa mana mana individu mungkin akan bertindak secara spontan membalas pukulan tersebut.
”Sebagai syarikat yang mengendali ramai penumpang seharian, ia harus bertindak secara adil dan mengutamakan keselamatan kakitangan mereka juga. Ini juga adalah tanggungjawab oleh pihak syarikat demi keselamatan kakitangan mereka,” katanya lagi.
Menurut NUFAM, ADS boleh mengambil tindakan terhadap kakitangan terbabit jika benar dia bertindak mengasari penumpang tersebut terlebih dahulu.-MalaysiaGazette
Hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan petugas ADS yang didakwa mengasari seorang penumpang yang menerima Notis Penolakan Masuk (NTL) di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1) seperti yang tular di media sosial, telah diberikan surat tunjuk sebab dan digantung tugas.
Menurut beliau, tindakan itu bagi memberi laluan kepada ADS, yang menyediakan perkhidmatan pengendalian darat untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu. -MalaysiaGazette