KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan minyak petrol di pengkalan haram Mat Roji Rantau Panjang, Kelantan semalam.
PGA dalam kenyataan berkata, menerusi Op Taring Wawasan itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 29 tahun bagi membantu siasatan.
“Rampasan dilakukan Pasukan Batalion 8 pada pukul 11.30 pagi selepas menahan dua buah kenderaan di pengkalan haram berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa tong mengandungi lebih 420 liter minyak petrol yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.
Menurut kenyataan itu, PGA turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek serta bahan bakar berkenaan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan ialah RM40,861.
Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette