KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis yang disyaki mencuri barang kemas milik seorang wanita meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Polis Kuala Lumpur dalam menerusi kenyataan ringkas hari ini memaklumkan, pertuduhan akan dibuat ke atas suspek sekitar pukul 8 pagi di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Sebelum ini, media melaporkan tangkapan empat anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal yang berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun di sekitar Setapak, di sini untuk membantu siasatan berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu.
Ia susulan siasatan polis selepas menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan.
Pada awal siasatan kes terbabit telah diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Namun ia diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan oleh polis hasil daripada beberapa keterangan saksi dalam kes tersebut.
Dalam kes ini polis berjaya membuat rampasan barang iaitu sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram untuk membantu siasatan lanjut.-MalaysiaGazette