KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) menerusi perkhidmatan Rapid KL akan menambah kekerapan
tren dan laluan bas terpilih bermula 22 hingga 24 November ini bagi kemudahan para pengunjung yang ingin hadir ke Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Inisiatif itu adalah komitmen Prasarana dalam menyokong usaha kerajaan menerusi program-program memberi manfaat besar dan penyampaian maklumat berkaitan hala tuju kerajaan secara terus kepada rakyat.
Lokasi acara bakal membuka tirai bermula hari Jumaat ini boleh diakses dengan menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL iaitu menerusi Stesen LRT KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen MRT Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya) dan Stesen Raja Chulan (Monorel Kuala Lumpur).
Kekerapan tren bagi LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Putrajaya akan ditingkatkan kepada setiap 3 minit dan 5 minit bermula 10 pagi hingga 3 petang pada Sabtu pada 23 November ini.
Langkah ini dapat memberi lebih kapasiti dan keselesaan kepada pengunjung untuk hadir, katanya dalam kenyataan.
Bagi perkhidmatan bas pula, Rapid KL akan menambah bilangan bas bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan untuk laluan berikut; laluan 300 (Pandan Indah – Lebuh Ampang); laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang) dan laluan 402 (Titiwangsa – KLCC).
“Pengunjung disaran agar menggunakan fasiliti ‘Park N Ride’ di stesen-stesen rel terpilih bagi memudahkan perjalanan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik serta kesulitan dalam mencari parkir di sekitar lokasi acara.
“Sila gunakan kad Touch ‘N Go yang sama bagi mendapatkan kadar rata bagi bayaran parkir,” katanya.
Rapid KL turut menambah bilangan anggota Polis Bantuan dan pegawai operasi di stesen-stesen rel terpilih dah hab bas KLCC bagi memberikan khidmat layanan terbaik selain menjaga keselamatan penumpang. – MalaysiaGazette