KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini gamat seketika apabila Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempertikai kenyataan Datuk Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang didakwa menuduh pembangkang tidak memberi keadilan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kekecohan tercetus selepas Shahar meminta Hamzah bersifat adil dalam menilai Perdana Menteri.
“Saya gembira apabila Ketua Pembangkang mahu jadi check and balance, tapi saya minta tolong kepada Yang Berhormat Ketua Pembangkang…biarlah kita bersifat adil dalam melihat full frame of picture,” katanya sebelum mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mendengarkan perkara itu, Hamzah bingkas dari tempat duduknya sambil berkata, ia bukan masanya untuk beliau menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Shahar itu.
Katanya, ia tidak adil kepada beliau untuk menjawab perkara tersebut dan jika dibenarkan oleh speaker beliau mahu saja menjawabnya.
“Saya nak menjawab inilah keadilan yang diberikan, Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) bersetuju dengan saya. Apa cerita nak menuduh saya adil atau pun tidak,” kata Hamzah.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengendalikan mesyuarat itu kemudian meminta kedua-dua ahli dewan berkenaan untuk duduk.
Hamzah kemudian meminta kepada semua ahli Parlimen terutama di blok kerajaan supaya tidak menuduh ahli Parlimen pembangkang.
Katanya, apa yang dibangkitkian oleh pembangkang adalah untuk dijawab oleh Perdana Menteri dan apabila telah dijawab semua ahli Parlimen pembangkang menyokong dengan cara bertepuk.
“Yang Amat Berhormat sendiri boleh tengok kami di sini bertepuk, tanda menyokong dalam alasan yang baik. Itu yang patut dilakukan.
“Jangan nak tunjuk hero atau nak jadi Menteri (dituju kepada Shahar), nak bangkitkan perkara-perkara seperti ini,” kata Hamzah lagi.
Johari kemudiannya bertegas dengan menyatakan beliau tidak membenarkan lagi apa-apa ulasan dibuat berhubung perkara itu.
Persidangan bersambung semula seperti biasa dengan Shahar terus mengajukan soalan kepada Perdana Menteri mengenai lawatan-lawatan yang dilakukan kerajaan ke luar negara. – MalaysiaGazette