M. Kumar.

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket menawarkan kad pemastautin tetap palsu sehingga mencecah RM7,000 bagi setiap pelanggan sejak tiga bulan lalu.

Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPK) Kulai menjalankan beberapa siri serbuan dan pemeriksaan di beberapa premis sekitar Kulai, Seri Alam, Johor Bahru dan Kajang, Selangor.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan pada 16 hingga 18 November lalu dilakukan di premis dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penjualan kad pemastautin tetap negara ini yang disyaki palsu kepada warga asing.

Dalam serbuan itu, polis menahan seramai 13 individu terdiri daripada enam warga tempatan dan tujuh warga asing berusia antara 27 hingga 44 tahun.

“Mereka berperanan sebagai pembuat, pengedar dan pembeli kad pemastautin tetap yang disyaki palsu.

“Polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat kad pemastautin palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Kumar,  antara yang dirampas sembilan kad pemastautin tetap, satu kad pengenalan disyaki palsu, satu kad perakuan nikah disyaki palsu dan tiga unit cop berlogo agensi kerajaan disyaki palsu.

Jelas beliau, ia termasuk sembilan keping gambar berukuran pasport, 10 unit telefon bimbit, dua set komputer, sebuah komputer riba, dua mesin pencetak dan sebuah mesin membuat cop getah selain beberapa keping kertas disyaki digunakan untuk mencetak kad palsu.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak September lalu.

Menurutnya, mereka mengenakan bayaran RM7,000 bagi setiap pelanggan dengan menyasarkan warga asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Siasatan, katanya, mendapati kumpulan berkenaan bergerak sendiri tanpa membabitkan lain-lain kumpulan dan mana-mana agensi kerajaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda dan Seksyen 25(1)(e) peraturan-peraturan pendaftaran negara 1959 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Tambahnya, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya semalam dan mendapat arahan pertuduhan ke atas dua suspek warga tempatan iaitu seorang suspek mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan- Peraturan Pendaftaran Negara 1959 kerana memiliki kad pengenalan palsu.

Seorang suspek lagi, katanya, akan dituduh mengikut Seksyen 89 Akta Polis kerana memiliki cop getah logo polis tanpa kebenaran, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dituduh di mahkamah Majistret Kulai pada hari ini.

“Baki lima suspek warga tempatan dijadikan saksi pendakwaan manakala enam warga asing, siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya dalam tempoh terdekat untuk arahan selanjutnya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here