KUALA LUMPUR – Seorang individu yang sedang disiasat polis dalam kes buli membabitkan seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang disyaki dipijak pelajar senior sehingga retak tulang rusuk dan tulang belakang dalam insiden 21 Oktober lalu akan diheret ke mahkamah esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan kes terbabit sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut sebelum ini.
“Kita sudah menerima arahan dari AGC untuk membuat pertuduhan ke atas suspek seorang individu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 22 November 2024 (Jumaat) jam 9 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Tambah beliau, dalam perkembangan kes itu, polis telah memamanggil dan merakam keterangan daripada 16 saksi bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.
Pada Ahad 10 November lalu, Rusdi mengesahkan bahawa polis menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 8.40 malam 8 November lepas.
Rusdi dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10.45 malam 21 Oktober lalu ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama.
Lelaki berusia 19 tahun itu dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh pelatih tahun tiga UPNM.-MalaysiaGazette