KUALA LUMPUR – Lelaki yang disyaki membunuh dan menyumbat mayat ibu kandungnya dalam peti sejuk beku selama tiga tahun, ditahan reman sehingga 26 November ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek sebelum ini dirawat di Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak hari dia ditangkap akibat sakit kronik.
“Saya boleh sahkan bahawa suspek kes bunuh ibu tiga tahun lalu sudah dibenarkan keluar dari PPUM sekitar 8.15 malam pada 20 November lalu.
“Lelaki berusia 50-an itu kini sudah ditahan reman sehingga 26 November depan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut dalam kes bunuh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai perkembangan laporan bedah siasat mayat, Rusdi memberitahu, laporan penuh autopsi masih belum diperoleh daripada pasukan patalogi Unit Forensik PPUM.
Bagaimanapun polis berjaya menerima laporan awal hasil bedah siasat mangsa bunuh itu, katanya.
“Laporan bedah siasat awal forensik PPUM ke atas mayat wanita warga emas berusia 80-an itu mengesahkan bahawa si mati telah meninggal dunia akibat kecederaan pada dada akibat objek tumpul chest injuries due to blunt trauma.
“Dalam siasatan kes berkenaan, polis setakat ini telah memanggil dan merakam sembilan percakapan bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan kertas siasatan kes bunuh terbabit.
“Selain itu, polis juga belum menerima sebarang timeline (jangka masa) tepat bila mangsa telah dibunuh anaknya dan masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pasukan patalogi Unit Forensik PPUM,” ujarnya.
Polis juga sudah mengenal pasti ahli keluarga terdekat kepada wanita tersebut.
“Jabatan Forensik PPUM sudah menyerahkan mayat wanita berkenaan kepada suaminya sekitar jam lebih kurang 9 pagi hari ini (Khamis),” kata Rusdi.
Terdahulu, sumber memaklumkan suspek dipercayai menumbuk ibunya sehingga mati sebelum mayat warga emas itu dibalut dengan tuala dan kain kemudian disumbat dalam peti sejuk beku.
Sumber berkata, suspek mendakwa dia membunuh ibunya pada Mac 2021 sebelum menyembunyikan mayat ibunya dalam peti sejuk beku selama tiga tahun.
Selepas lebih tiga tahun, katanya, mayat mangsa ditemui selepas kediaman suspek diperiksa sepasukan polis yang menerima laporan tentang perkara itu sekitar jam 9 pagi pada 12 November lalu.
“Suspek yang berusia 50-an dipercayai membunuh ibu kandungnya yang berusia 80-an kerana mahu wanita itu ‘masuk syurga’.
“Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik,” kata sumber.
Difahamkan, suspek sendiri menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan kerana dia tidak sihat sebelum membongkar rahsia mengenai keberadaan mayat ibunya dalam rumah. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Lelaki bunuh, simpan mayat ibu dalam peti sejuk beku direman seminggu