KUALA LUMPUR- Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Buruk) bagi seluruh negeri Terengganu dan beberapa daerah di Kelantan sehingga Sabtu, 23 November.
Dalam kemas kini jam 1 petang tadi, MetMalaysia berkata, ia melibatkan daerah seperti
Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Manakala amaran hujan berterusan (waspada) pula dikeluarkan kepada daerah Gua Musang di Kelantan, Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin); Johor (Mersing dan Kota Tinggi) bagi tempoh yang sama.
Cuaca buruk itu dijangka turut melanda Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
“Luruan monsun dijangka berlanjutan sehingga hujung November 2024. Berdasarkan analisis model-model cuaca, kekuatan luruan monsun diramal meningkat pada 27 November hingga 1 Disember 2024.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan dalam tempoh berkenaan.
“Pada masa yang sama, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora telah dikemas kini bagi perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa sehingga 26 November2024.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia. -MalaysiaGazette