PUTRAJAYA – Tiga beranak maut manakala seorang bayi lelaki berusia setahun parah dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 2 Timur Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Tol Segambut, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, penunggang motosikal berusia 37 tahun bersama tiga pemboncengnya dipercayai merempuh belakang sebuah lori.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.30 pagi tadi.
“Sebelum kemalangan berlaku, sebuah lori telah berhenti kerana mengalami kerosakan ‘starter’ dan sebuah lagi lori parkir di belakang untuk proses memindah barangan daripada lori yang rosak.
“Motosikal yang dinaiki kesemua mangsa datang dari arah belakang dikatakan bergerak memotong kenderaan lain dan gagal mengelak.
“Situasi itu menyebabkan motosikal terbabit melanggar belakang lori yang sedang memunggah barangan dari lori yang rosak itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, lori yang membawa produk makanan basah itu dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dan pekerjanya telah meletak lima kon keselamatan.
Selain itu, katanya dua pekerja lori terbabit turut membuat kawalan semasa pemindahan barang dilakukan di lokasi kejadian.
“Saksi melihat motosikal cuba memotong sebuah lori lalu hilang kawalan dan melanggar lori yg sedang parkir.
“Akibat kejadian itu, sepasang suami isteri berusia 37 dan 27 tahun serta anak perempuan mereka berusia empat tahun maut di lokasi kejadian.
Manakala anak bongsu yang juga bayi dianggarkan berusia setahun parah kini dirawat di Hospital Selayang,” jelasnya.
Beliau juga memaklumkan, bedah siasat kesemua mangsa selesai dilakukan pada jam 2.30 petang.
Katanya, jenazah ketiga-tiga mangsa sudah dituntut oleh waris dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana. – MalaysiaGazette