KUALA LUMPUR – Seramai 18 pelajar sekolah mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul dua Anugerah Emas dalam pertandingan Koir Sedunia Sing For Gold di Calella dan Barcelona, Sepanyol baru-baru ini.
Mereka yang mewakili Vocal Pizzest Malaysia iaitu gabungan Sekolah International Cempaka Bukit Damansara dan Sekolah Cempaka Cheras berjaya mengenepikan 51 kumpulan koir yang mewakili 33 buah negara.
Lebih membanggakan, dua emas dimenangi bagi kategori Koir Kanak-Kanak dan kategori Pop, Jazz dan Gospel dalam pertandingan berprestij yang dianjurkan oleh Interkultur yang merupakan penganjur terbesar dunia bagi Festival dan Pertandingan Koir Antarabangsa.
Ia melibatkan para pelajar yang berumur lapan hingga 14 tahun di mana Malaysia muncul kumpulan paling muda yang mewakili Asia Tenggara.
Dalam kategori pertandingan Koir Kanak-Kanak, Vocal Pizzest Malaysia menyanyikan lagu rakyat Malaysia dan rangkaian lagu-lagu medley dari CPAC Muzikal, Alice’s Wonderland yang dicipta oleh komposer tempatan, Nick Choo yang juga pemenang BOH Cameronian Arts Awards.
Lagu tersebut diadaptasikan dengan harmoni indah, dilengkapi dengan alat musik tradisi Malaysia seperti kompang selain mencuri tumpuan apabila tampil berpakaian songket dihiasi bunga dan sanggul emas untuk murid perempuan serta tanjak dan samping untuk murid lelaki.
Dipimpin oleh pemimpin koir mereka, Melinda Sik, mereka menyanyikan lagu klasik Malaysia, Wau Bulan, Lenggang Kangkung, Rasa Sayang, Sayang Kinabalu dan Chan Ma Li Chan disertakan dengan koreografi tarian Melayu.
Dalam kategori, Pop, Jazz & Gospel pula, Vocal Pizzest Malaysia mempersembahkan lagu-lagu daripada Spooks yang memukau ketika beraksi di pentas Konservatori Muzik Liceu Barcelona.
Sementara itu, Ketua Pengarah CPAC, Andrew Chan berkata, ia merupakan kali pertama Pizzest Malaysia menyertai pertandingan antarabangsa sekali gus menimba pengalaman baharu serta disiplin dalam melakukan latihan bagi memberikan komitmen tinggi.
Selain itu, ia juga membuka minda peserta yang dapat melihat gabungan etnik dan menjalin persahabatan dengan negara luar.
“Kami bersyukur kerana menerima sokongan yang hebat dari ibu-bapa dan guru-guru sehingga mereka dapat bersaing di pentas dunia.
“Pengalaman ini merupakan sesuatu perkara yang tidak ternilai harganya pada mereka semua dan berharap semoga banyak lagi peluang memenagi emas seperti ini di masa hadapan,” katanya.
Bagi seorang peserta, Mawar Mikaila Omar Mustapha, segala pengorbanan berbaloi selama ini kerana bukan mudah untuk memenangi pingat emas apabila berdepan saingan hebat.
“Kemenangan ini amat bermakna bagi kami dan pastinya hadiah untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette