Mohd Yusri meninjau pembayaran saman bersempena Program Dua Tahun Madani di ibu negara petang tadi.

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merekodkan kutipan pembayaran saman berjumlah RM1.03 juta sehingga 3 petang tadi pada hari pertama Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah kutipan itu diterima daripada bayaran saman seramai 2,750 pengunjung ekoran tawaran diskaun 60 peratus daripada PDRM.

“Kempen bayaran saman 60 peratus ini telah bermula 9 pagi tadi (Jumaat) dan setakat 3 petang tadi, kita telah berjaya menyelesaikan sebanyak 11,620 helai saman.

“Bagi kempen kali ini, PDRM telah membuat persiapan teliti dengan membuka 25 kaunter semakan dan bayaran saman untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung termasuk tujuh kaunter khas, 21 mesin e-payment serta 520 kerusi yang kita sediakan untuk orang ramai menunggu pembayaran saman,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd YUsri juga menambah, pengunjung juga boleh menjelaskan bayaran saman masing-masing menerusi aplikasi MyBayar PDRM.

Penggunaan aplikasi MyBayar PDRM akan menjimatkan masa tanpa perlu beratur panjang dan kupon diskaun 60 peratus juga boleh didapati di kaunter penebusan kupon MyBayar PDRM di 2TM hari ini.

“Mengambil kesempatan ini saya ingin menasihatkan orang ramai untuk menggunakan peluang menjelaskan saman anda yang telah kita berikan diskaun khas sebanyak 60 peratus sempena Program 2TM yang membantu daripada segi kewangan.

“Oleh itu, saya juga menggalakkan orang ramai supaya menyegerakan bayaran saman yang ada agar mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang seperti waran tangkap serta tidak akan disenaraihitam untuk urusan memperbaharui cukai jalan dan lesen sebagainya di masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri turut menjelaskan, JSPT bercadang untuk memperluaskan lagi kempen diskaun saman ke balai polis lain di seluruh negara pada pertengahan Disember depan.

“Memang betul saya merancang bersama pihak JSPT PDRM untuk memperluaskan lagi kempen diskaun untuk bayaran saman ini. Maka, mari kita menggunakan program 2 Tahun Madani ini sebagai peluncuran untuk kita memperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang,” katanya.

Malah tambah beliau, pihaknya akan bermesyuarat terlebih dahulu untuk melaksanakannya seawal pertengahan bulan 12 nanti.

Sebelum itu, katanya, JSPT juga akan turut mengkaji kadar diskaun yang akan diberikan sama ada hendak mengekalkan kepada 60 peratus seperti sekarang atau mungkin kurang daripada itu kerana kita akan tengok kepada pelbagai sudut,” ujarnya.

Mohd Yusri turut menjangka pertambahan jumlah pengunjung membayar saman sebanyak dua kali ganda pada esok selain lebih ramai pada hari terakhir tawaran diskaun saman 60 peratus disebabkan tiada lanjutan bakal ditawarkan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here