KUALA LUMPUR – Sekurang-kurang 42 penganut Islam Syiah, termasuk enam wanita terkorban manakala 20 lagi cedera dalam satu seranggan pengganas di Kurram, barat laut Pakistan, semalam.
Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi menyifatkan kejadian itu sebagai satu serangan pengganas yang menggerunkan di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pegawai polis tempatan, Azmat Ali berkata serangan berlaku apabila kumpulan pengganas melepaskan tembakan ke arah konvoi umat Islam Syiah yang dalam perjalanan dari Parachinar ke Peshawar.
“Susulan itu, 10 mangsa kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.
“Namun, masih tiada lagi pihak yang mengakui bertanggungjawab atas kesalahan ini, yang hanya berlaku seminggu selepas lebuh raya utama di kawasan itu dibuka semula selepas ditutup akibat pertempuran maut,” katanya.
Salah seorang penduduk tempatan, Mir Hussain mendakwa dia melihat empat pengganas keluar dari kenderaan lalu melepaskan tembakan selama 40 minit sebelum melarikan diri.
“Sewaktu serangan, saya telah mendengar jeritan dan tangisan meminta pertolongan,” ujarnya.
Sejak beberapa bulan ini, pertempuran sektarian telah menyebabkan puluhan kematian, termasuk insiden pertikaian tanah pada Julai lalu.
Serangan ini telah memberi tekanan terhadap Pakistan, yang sedang berdepan peningkatan keganasan di barat laut dan barat daya kerana serangan di kawasan ini sering dikaitkan dengan Taliban Pakistan dan kumpulan pemisah seperti Tentera Pembebasan Baloch.
Para pemilik kedai di Parachinar turut mengumumkan mogok sebagai tanda protes terhadap kegagalan kerajaan melindungi orang awam daripada ancaman militan. – Agensi