PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperbaiki penarafan Gred D yang diberikan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dalam laporan penilaian prestasi dua tahun Kerajaan Perpaduan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata berdasarkan indikasi tersebut, kerajaan akan berusaha meningkatkan mutu perkhidmatannya selain daripada usaha dan ikhtiar penambahbaikan, perubahan dan juga reformasi.
“Ini termasuk reformasi institusi dalam kerajaan. Insya-Allah dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi sidang Parlimen kali ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa beberapa Rang Undang-undang (RUU) yang akan mencerminkan usaha dan ikhtiar kerajaan untuk mereformasi atau menambahbaik institusi kerajaan.
“Berkemungkinan juga sejumlah RUU akan dibawa ke mesyuarat pertama Sidang Dewan Rakyat penggal depan yang akan dijadual bermula sekitar Februari,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, hari ini.
Usaha itu jelas Fahmi termasuklah penubuhan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia.
“Jadi banyak RUU yang sedang direncana dan dirancang, (ada juga) sedang dalam proses termasuk bagi Kementerian Komunikasi.
“Contohnya RUU Majlis Media Malaysia, yang sedang dalam proses akhir sebelum kita bawa ke Parlimen. Tapi kita harap bacaan pertama dalam sidang kali ini dan ini adalah komitmen kerajaan untuk menambahbaik termasuk ekosistem bagi para pengamal media,” katanya.
Rabu lalu, badan penggerak itu memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.
Sementara itu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masih terlalu awal untuk menilai keseluruhan pencapaian kerajaannya.
“Tentang BERSIH bagi D, tak apalah BERSIH bagi D, bukan F. UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dapat D, SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) esok naik A,” katanya di Parlimen, semalam.
BERSIH turut meletakkan Anwar di belakang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi mereka.
Dalam sidang media sama, Fahmi berkata cadangan Kerajaan Johor untuk mengubah waktu bekerja sektor awam kepada hanya empat hari setengah seminggu di negeri itu, berkemungkinan akan dibincangkan pada Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura, bulan depan.
Bagaimanapun Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Tidak dibincangkan dan mungkin serba sedikit akan diteliti, terutama dalam konteks Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura pada 8 dan 9 Disember ini.
“Namun dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini, tidak dibincangkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette