KUALA LUMPUR – Pencemaran bahasa pada papan iklan termasuk premis perniagaan boleh menimbulkan ancaman besar terhadap integriti linguistik dan warisan budaya di negara ini.
Penggunaan bahasa tidak betul termasuk kesalahan tatabahasa, kesilapan ejaan dan ungkapan slanga akan memberi kesan kepada pendidikan bahasa dan identiti budaya.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, lebih membimbangkan apabila ada segelintir peniaga sewenang-wenangnya menggunakan bahasa rojak.
“Papan iklan telah menjadi medium untuk menyampaikan mesej yang jelas dan ringkas kepada khalayak. Penggunaan bahasa lebih sensasi dan menarik perhatian hanya menjejaskan standard dan tatabahasa Bahasa Melayu.
“Sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya dan bahasa seharusnya mereka mengutamakan Bahasa Kebangsaan.
“Mereka tidak sepatutnya merojak atau membanggakan bahasa selain dari Bahasa Kebangsaan dan ianya termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun menyifatkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewajibkan pemilik perniagaan mempamerkan papan tanda berbahasa Melayu sebagai tergesa-gesa.
Kui Lun juga melahirkan kebimbangan sambil menegaskan tindakan keras itu dilihat hanya satu gangguan kepada warga kota yang terdiri daripada masyarakat berbilang budaya dan antarabangsa.
Dalam pada itu Tengku Azman bersetuju jika DBKL mengizinkan agar peniaga dibenarkan untuk mengekalkan estetika perniagaan masing-masing dengan syarat mereka perlu menggunakan Bahasa Kebangsaan.
“Bahasa terjemahan juga dibenarkan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Ia tidak mendatangkan masalah pun kepada pelancong atau pelawat asing.
“Kita tidak mahu melihat papan iklan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dirojakkan dengan pelbagai bahasa yang boleh membuat kebanyakan pelancong terkeliru sama ada mereka berada di Malaysia atau Hong Kong,” katanya.
Katanya, sudah sampai masanya DBKL menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama di dalam iklan dan ia boleh dicontohi pihak berkuasa tempatan (PBT) lain sebagai mencerminkan imej Malaysia.
“Saya berasa rasa kekecewaan dan bimbang terhadap penggunaan tulisan bahasa asing secara meluas di kebanyakan kompleks beli-belah di Kuala Lumpur yang memberi kesan kepada identiti kebangsaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette