Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penajaan sektor swasta dalam siri lawatan rasmi kerajaan keluar negara.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali berkata kenyataan itu terlalu bagus untuk dipercayai dan seperti ada udang di sebalik batu.

“Kata Perdana Menteri ini cara baru kerajaan hendak jimat perbelanjaan. Persoalan yang timbul dan wajar ditanya oleh rakyat adalah:Apa yang syarikat-syarikat ini akan perolehi?

There is no such thing as a free lunch! Kalau syarikat-syarikat ini mengguna pakai wang CSR mereka untuk belanja PM dan delegasinya, bukankah wang itu lebih baik digunakan untuk program-program kemasyarakatan dan kebajikan?, soal Rafique, hari ini.

Dalam pada itu, Rafique turut menuntut agar kerajaan memperincikan nama syarikat dan kos sebenar tajaan yang diberikan kepada Anwar.

Tegasnya lagi, langkah itu bagi memastikan pemilik dan juga syarikat-syarikat yang menaja lawatan rasmi itu tidak membida mana-mana kerja-kerja atau projek dengan kerajaan di masa akan datang.

“Perdana Menteri dan kerajaan perlu isytihar kesemua kos, perbelanjaan dan butiran-butiran yang ditanggung oleh setiap syarikat itu.

“Kesemua syarikat-syarikat swasta ini dan ahli lembaga pengarah dan/atau pemegang sahamnya pula mesti dimaklumkan. Kita mahu lihat adakah syarikat-syarikat ini dan/atau mana-mana pengarah atau pemegang sahamnya dianugerahkan sebarang projek oleh kerjaan Madani.

“Sebaik sahaja senarai dan butiran ini dikeluarkan (ingat janji PMX di Dewan Rakyat kata hendak bekalkan), pihak SPRM mesti mula siasat. Adakah terdapat sebarang isu tatakelola dan integriti dilanggar?, soal Rafique lagi.

Di Dewan Rakyat semalam, Anwar menerangkan kepada Ahi-ahli Parlimen bahawa sebahagian besar kos perjalanan bagi lawatan kerja rasmi beliau ke lima negara lima baru-baru ini ditanggung oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang turut mengikuti program tersebut.

Beliau turut berkata ia pendekatan berbeza yang dibuat di bawah pentadbirannya memandangkan kos lawatan kerja rasmi ke luar negara lazimnya menelan perbelanjaan yang tinggi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, syarikat-syarikat berkenaan diundang dalam lawatan kerja itu dan mempunyai kepentingan perniagaan serta pelaburan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here