Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk membawa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan meninggalkan DAP.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, ini kerana pemimpin DAP seolah-olah tidak boleh dikritik, apatah lagi selepas mereka mendapat jawatan tertinggi di dalam kerajaan.

“Selaku ADUN Sungai Udang dan Armada Bersatu Nasional, saya menyelar tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan saya mempertahankan tindakan Dr Akmal yang menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai kaduk naik junjung.

“Ternyata selama ini kepimpinan DAP yang bertindak mengganggu keharmonian kaum dan sekiranya itu tidak berlaku, sudah tentu Dr Akmal tidak bangkit menyelar kepimpinan DAP dan terbaru Loke.

“Selama ini, perjalanan negara ke arah negara maju dan keharmonian di antara kaum selalu terganggu dengan tindak-tanduk pemimpin DAP itu sendiri dengan kenyataan-kenyataan jelas mengganggu keharmonian kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan empat pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyelar Dr Akmal susulan kenyataannya mendakwa Loke yang juga Menteri Pengangkutan sebagai seorang yang ‘sombong’.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Biro Dasar Awamnya; Jason Ng, Timbalan Setiausaha Publisiti selaku ADUN Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao; Naib Ketua Kebangsaan, Raja Ahmad Iskandar Fareez dan Setiausaha Kebangsaan, Lin Chun Weng.

Menurut kumpulan itu, serangan terhadap Setiausaha Agung DAP itu jelas memperlihatkan sisi tidak matang Dr Akmal dalam berpolitik dan menggesa ADUN Merlimau itu memberi tumpuan kepada tugas hakiki.

Dalam pada itu, Dr Aleef juga memberi jaminan, bukan Dr Akmal sahaja lantang bersuara dalam mempertahankan agama bangsa dan negara, bahkan Perikatan Nasional (PN) akan turut sama dan senada dengan tindakan Exco Melaka itu.

“Saya menyeru Dr Akmal mengambil tindakan drastik dengan membawa UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan bersama PN, kerana kedua-dua pihak ini berkongsi aspirasi dan perjuangan yang sama.

“Memang jelas Loke kaduk naik junjung! Lihat sahaja dalam Kerajaan Perpaduan, Loke sendiri bertindak sombong dengan menghina pemimpin parti yang bersama-sama dalam kerajaan gabungan dengan menyifatkan Dr Akmal sebagai pemimpin berjawatan rendah dan tidak perlu melayan kelantangan beliau,” katanya.

Katanya lagi, keadaan itu jelas membuktikan bahawa perpaduan dan kesepakatan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan semakin goyah, bagaikan retak menanti belah.

“Lebih baik pemimpin UMNO itu bawa keluar meninggalkan DAP dan Pakatan Harapan (PH) serta kembali memperjuangkan penyatuan bangsa Melayu dan bangsa agar dapat kedudukan orang Melayu dikembalikan untuk mendominasi kuasa politik di dalam negara ini.

“Kelemahan menteri-menteri di dalam Kerajaan Perpaduan dilihat membawa negara terperosok jatuh, juga telah mencemar nama baik UMNO, tiada makna untuk meneruskan gabungan bersama mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here