Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hadir Majlis Perasmian FFM33 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang bertemakan ‘EMAS – Evolusi Sinema Malaysia’ bakal mengangkat bakat tempatan serta pencapaian filem Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 104 penyertaan telah diterima dengan 95 pencalonan layak bertanding merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.

Menurut beliau, pemenang 27 kategori bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi.

“Anugerah Filem Terbaik pula akan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.

“FFM33 turut memperkenalkan 57 program sisipan interaktif dalam tiga teras utama iaitu Film Biz yang menyokong pelaburan dan kolaborasi industri; Pembudayaan Sinema-Tayangan dan apresiasi bersama-sama komuniti dan serta eningkatan profesionalisme menerusi program latihan dan bengkel,” katanya pada Majlis Perasmian FFM33 di sini malam ini.

Fahmi menambah, selain itu, kerjasama dengan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) akan menampilkan program Intuisi Emas di Datum Jelatek.

Kata beliau, antaranya termasuk Forum Orang Muda Dalam Perjuangan bersama pengarah muda prolifik esok.

Program lain adalah Forum Lihatlah Dunia, Trofi FFM Merubah Hidupku pada Ahad ini dengan pemenang FFM terdahulu.

Sementara itu, Malam Anugerah FFM33 akan berlangsung pada 7 Disember ini pukul 9.00 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

FFM33 akan turut disiarkan secara langsung di TV2 RTM serta YouTube FINAS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast