Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa bersalah kerana gagal menunaikan ajaran Islam ketika menjadi ketua pentadbiran kerajaan khususnya, mengenai keselamatan umat Islam.

Jelasnya, dengan kekayaan yang dimiliki negara-negara Islam sepatutnya dimanfaatkan untuk menyediakan tentera yang dilengkapi dengan semua senjata buatan sendiri untuk menyelamatkan umat Islam.

“Kita patut tanya diri kita kenapa tidak ada Kuasa Besar di kalangan negara-negara Islam. Sebabnya ialah kerana kita abaikan fardu kifayah. Sebenarnya Allah telah kurniakan kepada negara-negara Islam kekayaan yang tidak terhingga nilainya. Tiap hari berpuluh juta tong minyak petrol yang dikeluarkan di negara Islam. Tiap satu tong menghasilkan US70 dollar (RM300). Berpuluh juta tong bermakna USD1,400,000,000 sehari.

“Itu untuk satu hari. Pada satu tahun ada 365 hari,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau yang sedih dan kecewa dengan serangan di Lubnan oleh Israel berpendapat, pembunuhan beramai-ramai ini menunjukkan umat Islam tidak mampu melindungi dan menyelamatkan saudara yang lain.

“Kenapa genosid ini berlaku berterusan. Sebabnya ialah kerana umat Islam tidak mampu melindungi dan menyelamat umat Islam seperti yang diwajibkan oleh agama Islam,” katanya.

Menurut beliau, situasi berkenan berlaku kerana ketiadaan negara Islam yang menjadi kuasa besar dan menakutkan musuhnya daripada melakukan penindasan.

“Di zaman Uthmaniyah Turki genosid ke atas umat Islam tidak berlaku. Bangsa-bangsa lain tidak berani menindas orang Islam kerana takut diserang oleh askar Turki… Kita patut tanya diri kita kenapa tidak ada Kuasa Besar di kalangan negara-negara Islam,” tambahnya.

Jelas Dr Mahathir, ini didorong daripada tindakan pengabaian fardu kifayah.

Sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di timur Lubnan, semalam.

Serangan ini merupakan sebahagian daripada usaha melawan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast