Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian untuk meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata Pengerusi PN itu sesuai untuk kekal menjadi ‘poster boy’ berdasarkan pengalamannya.

“Dalam Perikatan Nasional, semua boleh memberi bayangan, pandangan dan pendapat, namun siapa yang boleh menentukan sesuatu itu diterima atau tidak adalah Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.

“Beliau (Muhyiddin) mempunyai pengalaman, kepimpinan dan sokongan seluruh Perikatan Nasional. Beliau juga seorang yang mengutamakan pendekatan bersama, kesederhanaan dan amat sesuai sebagai ‘poster boy’ PN,” katanya menerusi kenyataan.

Dominic berkata demikian bagi membidas kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin bahawa kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri adalah berdasarkan jumlah kerusi Dewan Rakyat dan kekuatan jentera akar umbi.

“Hakikatnya, kita memerlukan 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, bukan 43 atau 50 kerusi. Kalau hanya berdasarkan jumlah kerusi, DAP sudah tentu telah mencalonkan wakilnya sebagai PM dalam Kerajaan hari ini. Namun sebaliknya,” tambahnya.

Sebagai rekod, Pas mempunyai bilangan kerusi terbanyak dalam PN diikuti oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Manakala Gerakan pula tidak mempunyai sebarang kerusi.

Mengulas lanjut beliau berkata gabungan tersebut sepatutnya bergerak sebagai sebuah perikatan yang bekerjasama sekiranya ingin menjadi kerajaan.

“Kita perlukan gabungan, sebuah perikatan dan kerjasama dalam mendapatkan angka 112 ahli dewan rakyat.

“Adalah baik untuk kita berfikir bagaimana untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, merangka strategi menentang lawan politik kita, dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah perikatan,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Hashim dilaporkan berkata Pas lebih layak memimpin PN kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast