Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Ajeet Singh Gurbax Singh

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan lanjutan permit warga asing yang sudah dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu dikekalkan tanpa melibatkan pihak luar mahupun swasta.

Itu ditegaskan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Ajeet Singh Gurbax Singh berhubung perolehan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing (FWCMS).

“KPISM juga menyokong keputusan PAC yang sebulat suara dalam perbincangan khas yang diadakan semalam (Rabu lalu) untuk memulakan prosiding berhubung isu itu pada 10 Disember ini.

“Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) merupakan permit yang diberikan JIM kepada pekerja asing untuk tempoh setahun dan ia boleh dilanjutkan setia tahun untuk tempoh 13 tahun.

“Kos setiap tahun untuk lanjutan PLKS adalah kos Levi (mengikut sektor pekerjaan), Fi Proses sebanyak RM 125, PLKS sebanyak RM 60 dan kos Visa (berdasarkan negara).

“Sebagai contoh, sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan sektor pembinaan, kos lanjutan permit kerja seorang pekerja asing warga Bangladesh adalah; Levi sebanyak RM 1,850, Fi Proses RM 125, PLKS RM 60 dan Visa RM 20. Keseluruhannya adalah RM 2,055,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sekiranya majikan membuat lanjutan permit kerja melalui sistem atas talian JIM e-PLKS maka majikan perlu membayar kos lanjutan permit kerja untuk seorang sebanyak RM 2,055 terus kepada JIM, yang merupakan hasil negara.

“Selain itu, JIM juga telah membangunkan Ekosistem Pengurusan Pekerja Asing Secara Atas Talian (e-PLKS) sejak 2020 dan ia berjalan lancar serta majikan berpuas hati dengan sistem tersebut yang akan diteruskan pihak JIM.

“Sistem Lanjutan PLKS Secara Atas Talian yang disediakan juga membenarkan majikan atau wakil majikan memperbaharui lanjutan permit kerja pekerja asing menerusi portal JIM https://imigresen-online.imi.gov.my/plks/main tanpa melibatkan pihak luar,” jelasnya.

Susulan itu, Ajeet Singh mempersoalkan mengapa lanjutan PLKS perlu diserahkan kepada pihak swasta yang akan membebankan kerajaan menerusi Sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS).

Menerusi laman sesawang imigresen, sistem FWCMS untuk lanjutan PLKS telah diperkenalkan pada 1 November lalu dan akan digunakan sepenuhnya pada 1 Februari 2025.

Terdahulu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpandangan kontrak sistem FWCMS antara kerajaan dan Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) pada September lalu dilihat sebagai langkah kurang cermat.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini memandangkan caj bayaran yang dikenakan tinggi dan akan membebankan majikan dan pekerja asing.

Semalam, media melaporkan, kerajaan mungkin perlu membayar RM3.22 bilion kepada syarikat swasta itu kerana menanggung isu bayaran fi RM215 bagi setiap pekerja asing yang memohon permit kerja menerusi PLKS atau ePass.

Berdasarkan laporan PAC yang disiarkan itu, jawatankuasa tersebut mendapati caj bayaran yang dipersetujui adalah RM215 untuk setiap pengeluaran ePass yang dibayar oleh kerajaan kepada Bestinet terlalu tinggi.

Jumlah itu terlalu tertinggi, berbanding seperti terkandung dalam Surat Setuju Terima (SST) asal iaitu RM100. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast