KUALA LUMPUR – Para pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia termasuk seramai 1,747 pelatih Inspektor, Sarjan dan Konstabel yang menamatkan Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) hari ini agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk salah laku termasuk rasuah apabila berkhidmat di luar nanti.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, cabaran paling besar yang pasti menunggu mereka di luar nanti adalah apabila berhadapan dengan isu rasuah.
Katanya, penglibatan dalam rasuah mampu memberikan pelbagai impak negatif termasuk merosakkan maruah diri, pasukan, bangsa dan negara.
“Kerjaya sebagai seorang pegawai polis adalah antara kerjaya yang sangat mencabar dan memerlukan pengorbanan yang amat besar, baik dari segi masa mahupun tenaga.
“Oleh itu, diharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan dapat menggalas amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam melindungi negara bagi menjamin masyarakat selamat, aman dan sejahtera.
“Saya juga suka ingatkan tuan dan puan yang tamat latihan hari ini untuk mengambil berat tentang aspek keterampilan diri yang merupakan antara faktor penting yang perlu ditonjolkan semasa menjalankan tugas,” katanya dalam amanat beliau di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini.
Turut hadir Timbalannya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah-pengarah Jabatan di Bukit Aman, ketua-ketua polis kontinjen negeri, daerah dan para ibu bapa pelatih yang hampir mencecah 10,000 pada majlis penuh meriah itu di sini.
Beliau hadir menyempurnakan Istiadat perbarisan Tamat Latihan PLAK penuh bersejarah pada kali ini yang menghimpunkan sejumlah 1,747 pelatih Inspektor, Sarjan dan Konstabel dari empat buah Pusat Latihan Polis iaitu PULAPOL Kuala Lumpur, Dungun, Bukit Sentosa dan Segamat.
Barisan pelatih pada hari ini terdiri daripada pelatih PLAK Inspektor seramai 339 orang, PLAK Sarjan seramai 293 orang dan PLAK Konstabel seramai 1,115 orang.
Ia merupakan simbolik kejayaan para pelatih menamatkan Latihan Asas Kepolisan yang amat signifikan dalam transformasi personaliti awam menjadi pegawai polis, kerjaya dengan amanah tugas yang berat.
Tambah beliau, ia menjadi tanggapan pertama pelanggan yang mencerminkan kredibiliti serta keupayaan pegawai polis terutamanya ketika berurusan dengan pelbagai kumpulan masyarakat dan secara tidak langsung, ia melambangkan identiti PDRM.
Ketanya lagi, pegawai dan anggota perlu sentiasa berpenampilan segak dan cergas untuk menyumbang kepada peningkatan produktiviti kerja dan imej pasukan sekali gus dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada masyarakat.
Beliau juga mengingatkan bahawa sebagai pegawai polis, perlu memahami peranan dan tanggungjawab kita dengan jelas sepertimana yang termaktub di dalam Akta Polis 1967.
Katanya lagi, pegawai polis adalah role model kepada masyarakat, justeru dinasihatkan sentiasa menjauhkan diri daripada segala bentuk salah laku yang boleh mencemar nama baik Pasukan.
“Tamatnya program latihan hanya satu langkah permulaan dalam kehidupan sebagai warga Sang Saka Biru dan semasa bertugas di lapangan pelbagai cabaran akan dilalui yang akan menguji mental, emosi, semangat serta prinsip hidup tuan-tuan dan puan-puan.
“Sebagai pegawai dan anggota pelatih yang telah membuat keputusan untuk menyarung seragam hari ini, maka laksanakanlah tugas ini dengan niat yang murni, penuh ikhlas, jujur dan amanah.
“Tugas ini adalah satu amanah besar serta tanggungjawab berat yang diletakkan di bahu kita, yang akan dihisab di akhirat kelak.
“Tekadkan azam dan pasakkan semangat dalam diri masing-masing untuk terus menjadi seorang Pegawai Polis yang berintegriti, kuat jati diri dan berpegang teguh kepada prinsip kepercayaan agama dalam setiap tindakan yang dilakukan,” tegasnya lagi.
Jelas Razarudin lagi, sejak tahun 2020 hingga 2024, PDRM telah menerima sejumlah 299,296 permohonan dan hanya 19,283 atau 6.4 peratus pemohon daripadanya telah berjaya dan dilantik menjadi Pegawai Polis.-MalaysiaGazette