KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) diarahkan untuk bertindak lebih proaktif untuk mengesan pelanggaran salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, JIPS tidak sepatutnya sekadar menunggu maklumat tiba untuk mengambil tindakan.
Menurut beliau, JIPS telah melaksanakan Integrity Testing secara berterusan, khususnya dalam situasi yang menguji keteguhan integriti seperti tawaran rasuah ketika bertugas di lapangan.
“Tambahan lagi, pemeriksaan audit kewangan dan profiling pemantauan gaya hidup pegawai secara berkala turut dijalankan secara berterusan bagi memastikan tiada yang berbelanja melebihi kemampuan.
“Selain itu, Talian Hotline JIPS turut disediakan sebagai salah satu saluran aduan yang efektif kepada warga Pasukan dan orang awam yang bertindak sebagai mata dan telinga PDRM untuk melaporkan sebarang bentuk perlanggaran salah laku melibatkan warga pasukan,” katanya dalam ucapan amanat di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (Inspektor, Sarjan dan Konstabel Pelatih) di Pulapol Kuala Lumpur yang menghimpunkan seramai 1,747 pegawai dan anggota.
Dalam perkembangan sama Razarudin turut menyatakan bahawa kepimpinan PDRM tidak akan berkompromi dengan warga Pasukan yang terlibat dalam jenayah atau salah laku.
”JIPS guna dron menyiasat mana-mana pegawai dan anggota yang keluar pejabat dan bermain golf waktu pejabat dan sebagainya.
“Pihak JIPS sendiri tangkap kalau ada salah laku mereka berfoya-foya pergi ke karaoke, berbelanja melebihi kemampuan,” ujar beliau.
Jelasnya lagi, Arahan Ketua Polis Negara Bilangan 191 mengenai “Total Enforcement” ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 perlu dipatuhi sepenuhnya oleh setiap pegawai dan anggota yang bertugas dalam PDRM.
“Arahan ini menekankan aspek penyeliaan oleh Pegawai Polis, antaranya menerusi pelaksanaan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) PDRM secara close monitoring.
“SKDD menyediakan platform penyeliaan bersemuka setiap bulan secara sistematik melalui perbincangan, memberi nasihat dan teguran serta penilaian sikap melibatkan Pegawai Polis dan Pegawai Awam PDRM,” katanya lagi. -MalaysiaGazette