KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok putih dengan anggaran nilai RM206,224 dan melibatkan cukai berjumlah RM1,721,970.40.
Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata rampasan tersebut dilakukan dalam dua serbuan berasingan pada Oktober dan November lalu.
Dalam kes pertama pada 22 Oktober 2024 lebih kurang jam 6.50 pagi, sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuantan telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup di Segamat.
“Pemandu lori telah berjaya melarikan diri dan yang ditahan dipercayai dalam
perjalanan dari Pantai Timur ke Selatan tanah air.
“Hasil pemeriksaan ke atas motolori tersebut, pasukan telah menemui sejumlah kotakberwarna coklat yang mengandungi rokok disyaki barang larangan berjumlah
1,680,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM134,400.
“Cukai terlibat dianggarkan berjumlah RM1,122,240 dan nilai keseluruhan rampasan
membabitkan sebuah buah motolori dan rokok putih termasuk duti dianggarkan berjumlah RM1,306,640,” katanya hari ini.
Menurut beliau, pihak sindiket menggunakan lori bonded dan bergerak pada waktu pagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Manakala kes kedua berlaku 3 November lalu, kira-kira 4.15 petang, pihak kastam telah telah menyerbu di sebuah gudang dua tingkat di Pusat Perindustrian Alor Gajah, Melaka.
Hasil pemeriksaan, pasukan telah menemui rokok putih berjumlah 897,800
batang yang melibatkan cukai dianggarkan berjumlah RM599,730.40.
“Mereka menggunakan premis ini untuk menyimpan rokok yang tak berkastam. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette