Muhammad Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak berkompromi dengan langkah membentuk kerajaan melalui pintu belakang dan berpegang teguh dengan prinsip tulen demokrasi merupakan salah satu reformasi.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, dengan kestabilan politik inilah ekonomi negara kembali kukuh dan inilah reformasi besar yang sedang berlaku.

“Sejak Anwar memerintah, perkara utama beliau bertiwikrama adalah mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Negara telah melalui satu episod hitam selama tiga tahun selepas kudeta melalui Langkah Sheraton dengan menyaksikan ekonomi negara merosot akibat ketidakstabilan politik.

“Tindakan Anwar menumpukan dua perkara utama iaitu kerajaan stabil dan pemulihan ekonomi adalah satu reformasi penting di mana perkara inilah yang gagal ditangani ketika zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) mengingatkan Perdana Menteri agar tidak menjadi seorang pemimpin yang pandai berjanji tetapi gagal menunaikannya.

Bekas Ahli Parlimen Sepang itu menggesa Perdana Menteri yang memperjuangkan reformasi dan keadilan lebih dua dekad untuk bertindak dalam kes-kes melibatkan polis.

Menurut Faiz, ringgit di bawah pentadbiran Perikatan Nasional melebihi kadar RM4.70 berbanding dolar AS pada November 2022, berbanding Anwar dengan menyaksikan pemulihan mata wang negara dan hari ini sekitar RM4.40.

“Dalam enam bulan pertama 2024, pelaburan langsung diluluskan meningkat 18 peratus ke RM160 bilion berbanding tahun sebelumnya. Angka itu paling tinggi dalam sejarah negara untuk tempoh Januari-Jun.

“Penghapusan 66 peratus miskin tegar di Malaysia setakat Oktober 2024. KDNK negara pada suku ketiga 2024 menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus, melebihi anggaran awal 5.1 peratus,” katanya.

Jelas Faiz, negeri-negeri pembangkang (SG4) tidak dianak-tirikan, bahkan dalam Belanjawan 2025, perkumpulan ekonomi akan diwujudkan mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah serta industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu.

“Royalti minyak di Kelantan dan Terengganu dikembalikan,” katanya.

Hanipa juga diingatkan Anwar juga berjaya mengurangkan jumlah hutang baharu tahunan kerana perbelanjaan lebih efisien.

“Pada 2021 dan 2022, jumlah hutang baharu tahunan adalah RM100 bilion setahun. Namun, ia telah jatuh kepada RM84.7 bilion pada 2024,” katanya.

Selain itu, Faiz juga memberitahu, kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi di mana keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dibuat oleh Jabatan Peguam Negara tanpa campur tangan Anwar.

Tambahnya, pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri pula dibuat atas semangat perpaduan dibina antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan inilah kunci kekuatan kepada kestabilan politik yang wujud sekarang.

“Adapun reformasi institusi dibangkitkan, ianya memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan di mana Anwar perlu mempunyai sokongan dua pertiga majoriti Ahli Parlimen.

“Jika sesuatu pindaan tidak mendapat kelulusan Dewan Rakyat, ia akan mewujudkan krisis perlembagaan lagi sekali, pasti boleh menggugat kestabilan politik yang akan merencatkan pemulihan ekonomi. Kesannya, rakyat akan menderita sekali lagi.

“Sebagai Perdana Menteri, Anwar melaksanakan tugas secara tanggungjawab bersama dan Jemaah Menteri telah melakukan beberapa reformasi besar dalam pentadbiran negara,” katanya.

Faiz berkata, antara reformasi institusi yang sudah dilaksanakan adalah Prime Minister Question Time (PMQT) di Parlimen, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 dan pindaan Pindaan Akta Audit 1957.

“Malah mengikut pelaporan Bersih, terdapat 11 reformasi yang sedang berjalan dan dalam proses untuk dilaksanakan termasuklah pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen akan dilaksanakan pada tahun depan seperti mana dinyatakan Perdana Menteri di Parlimen, semalam.

“Ini membuktikan agenda reformasi kekal menjadi agenda utama Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang memerintah hari ini.

“Sekalipun wujudnya cabaran untuk melaksanakannya, namun ianya masih dapat dilaksanakan dan prosesnya masih berjalan,” katanya.

Katanya lagi, tidak adil sekiranya Hanipa menilai agenda reformasi ketika pertengahan penggal pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan agenda Reformasi ini lebih adil untuk dinilai ketika tamat penggal pemerintahan.

“Ini bagi memberi ruang kepada kerajaan melaksanakannya dan perlu melalui proses yang panjang. “Rome was not built in a day”, katanya.

Faiz turut mengingatkan Hanipa agar tidak memberikan “peluru” kepada musuh kerana zaman politik hari ini penuh dengan fitnah dan sentimen.

“Cukuplah kita saling salah-menyalah pemimpin yang sama-sama kita bela sebelum ini.

“Berilah peluang dan ruang kepada Anwar untuk melaksanakan agenda reformasi kerana itulah perjuangan kita bersama beliau sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here