PUTRAJAYA – Kos penerbangan pesawat khas yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rombongannya ke lima buah negara baru-baru ini berjumlah RM6.162 juta.
Bagaimanapun Jurucakap Kerajaan, Ahmad Fahmi Fadzil menjelaskan, kerajaan hanya menanggung kos penerbangan untuk Perdana Menteri dan delegasi rasminya sahaja iaitu sebanyak RM1.66 juta ringgit manakala baki sebanyak RM4.5 juta ringgit ditanggung oleh delegasi perniagaan yang terbabit dalam lawatan itu.
Tambah beliau, penggunaan pesawat sewa khas Airbus A350 semasa lawatan rasmi kali ini, berjaya mengurangkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.
“Pihak kerajaan ada penjimatan jika dibandingkan dengan pesawat sedia ada yang kosnya boleh mencecah RM2.5 juta, ini bermakna ada penjimatan lebih RM900,000.
“Tetapi pihak kerajaan tetap mengeluarkan kos penerbangan sebanyak RM1.66 juta, manakala kos penginapan, pengangkutan, makanan di pihak kerajaan semuanya diuruskan kerajaan atau penganjur seperti APEC atau G20.
“Jadi tiada isu penginapan, pengangkutan, makanan, semuanya tidak ditanggung oleh syarikat.
“Syarikat-syarikat ini mempunyai niat sama ada tujuan pelaburan di negara-negara yang dilawati seperti Petronas yang mempunyai pelaburan AS$6 bilion di Brazil, maka mereka ikut rombongan tetapi kos mereka tanggung sendiri,” katanya semasa sidang media di Kementerian Komunikasi, hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan terdapat dakwaan yang mengatakan, kos penerbangan Perdana Menteri dibiayai oleh pihak tertentu.
Ditanya samada kerajaan mahu mendedahkan nama-nama syarikat yang membuat tajaan itu, Fahmi berkata media boleh mengajukan soalan tersebut kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“(Media) Boleh berhubung dengan pihak MITI,” jawab Fahmi.
Semasa sidang media sama, Fahmi turut ditanyakan mengenai kehadiran Nurul Izzah Anwar semasa siri lawatan Anwar.
Katanya, kehadiran bekas Ahli Parlimen Permatan Pauh yang anak sulung Perdana Menteri itu atas jemputan daripada penganjur.
Malah katanya jemputan tersebut dibuat selepas isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah tidak dapat menghadiri jemputan berkenaan.
“Nurul Izzah telah dijemput antara lain kerana Datuk Seri Dr. Wan Azizah tidak mengikuti rombongan ini. Beliau (Nurul Izzah) juga dijemput (atas kapasiti) sebagai Pengarah Social and Economic Research Initiative (Seri),” katanya lagi
Semalam, Anwar memberitahu kira-kira 70 hingga 80 peratus kos perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti rombongan itu.
Jelas beliau, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin. -MalaysiaGazette