KUALA LUMPUR – Cadangan pengurangan waktu kerja untuk sektor awam yang sedang diteliti Kerajaan Negeri Johor tidak wajar dilihat daripada sudut negatif dan dianggap akan menjejaskan produktiviti tugasan.
Sebaliknya Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Datuk Adnan Mat berpendirian bahawa langkah itu akan menjadi motivasi dalam kalangan pekerja supaya lebih bersemangat dalam menunaikan perkhidmatan.
“Usaha ini secara tidak langsung dapat mencapai keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan pekerja disamping tidak menjejaskan produktiviti yang ditetapkan majikan,” katanya menerusi kenyataan.
Bukan cadangan baharu, malah katanya kerajaan pada 1 Januari 2023 melalui Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) telah menetapkan tempoh waktu bekerja dikurangkan kepada 45 jam seminggu berbanding 48 jam seminggu.
Tambah beliau, kebanyakan negara maju juga telah melaksanakannya termasuklah Iceland.
“Iceland antara kayu pengukur kejayaan kepada pengurangan waktu kerja iaitu daripada purata 40 jam kepada 35 jam seminggu. Pekerja dapat menikmati hidup yang lebih sihat, bekerja tanpa tekanan dan seterusnya diterjemahkan dengan meningkatkan produktiviti pekerjaan,” tambahnya.
Jelas beliau, menerusi amalan pendigitalan di tempat kerja pengurangan waktu bekerja bagi sektor awam diyakininya tidak akan menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Semua pihak perlu terbuka kepada langkah penambahbaikan kualiti kehidupan pekerja untuk mereka menikmati keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan.
“Dalam pelaksanaan mengurangkan jam bekerja ini majikan seharusnya telah bersedia dalam memastikan pelaksanaannya tidak memberi impak yang sebaliknya. CUEPACS juga yakin kerajaan tidak akan melaksanakan perkara ini tanpa membuat kajian atau penelitian dengan lebih lanjut,” tambah beliau.
Terdahulu katanya, CUEPACS menyambut baik cadangan Johor untuk melaksanakan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu.
Perkara berkenaan diumum oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi meningkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya.-MalaysiaGazette